Isytihar Convent Bukit Nanas tapak warisan, bukan hanya lanjut pajakan tanah, gesa NGO

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pakar perancangan bandar menyuarakan pandangan berbeza berhubung langkah kerajaan hari ini melanjutkan tempoh pegangan pajakan tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas selama 60 tahun lagi.

Pengerusi Save Kuala Lumpur, M Ali mengkritik keputusan itu dengan berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebaliknya patut mewartakan sekolah itu sebagai tapak warisan.

“Kami menyokong bangunan dengan usia itu, lebih 100 tahun, perlu dilindungi sebagai tapak warisan.

“Kenapa kita bercakap hanya bagi tempoh 60 tahun? Apa yang akan berlaku selepas 60 tahun? Kita akan lalui proses sama,” kata beliau ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Badan Warisan Malaysia (BWM) turut menggesa kerajaan melindungi sekolah itu kerana ia penting kepada warisan negara.

Disember lalu, Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan mengeluarkan surat tidak memperbaharui pajakan tanah sekolah itu yang akan tamat 6 Sept ini.

Persatuan Alumni Convent Bukit Nanas melancarkan petisyen dua hari lalu menggesa kerajaan memperbaharui pajakan itu.

Mereka juga cuba mengetepikan keputusan awal tidak memperbaharui pajakan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu, Derek Fernandez memuji keputusan “hebat” itu dengan berkata, ia sejajar dengan dasar Muhyiddin pada 2013 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

“Beliau kata Kementerian Pendidikan tidak membantah lanjutan pajakan untuk sekolah mubaligh itu, selagi ia digunakan untuk pendidikan,” kata beliau, sambil menambah, sejak 2013, tiada pengumuman mengenai sebarang perubahan dasar.

Oleh itu, Fernandez yang juga peguam berkata, bukan di bawah bidang kuasa mana-mana agensi tanah persekutuan, atau mana-mana kementerian, untuk menerbalikkan dasar itu tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, ia menyambung pajakan tanah sekolah berkenaan selepas mengambil kira kepentingan sumbangan sekolah itu kepada pendidikan negara sejak 1899.

Katanya, lanjutan pajakan itu diberikan “khusus untuk tujuan pendidikan sahaja”.

Sementara itu, Sister Mary Theresa Chua, dari Persatuan Saint Maur, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah memanjangkan pajakan tanah selama 60 tahun.

“Kami juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kasih sayang, perhatian dan keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan Convent Bukit Nanas, yang telah mendidik anak-anak selama 122 tahun,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata Sister Chua, beliau mewakili lembaga pemegang amanah sekolah berkenaan dalam pertemuan petang ini dengan ketua setiausaha negara dan pengarah tanah dan galian wilayah persekutuan, bagi membincangkan lanjutan pajakan tanah tersebut.

Ditubuhkan pada 1899 oleh mubaligh, Convent Bukit Nanas adalah salah sebuah sekolah tertua di Malaysia.

See Original: Aiman, A. (2021a, April 22). Isytihar Convent Bukit Nanas tapak warisan, bukan hanya lanjut pajakan tanah, gesa NGO. Free Malaysian Today.