22 APRIL 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ingin menjelaskan bahawa Sekolah Convent Bukit Nanas (SMK CBN), Kuala Lumpur yang menjadi perhatian media dan orang ramai ketika ini belum diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).
Berdasarkan maklumat sejarah yang diperolehi, SMK CBN telah dirasmikan pembukaannya oleh Encik E.L. Brockman, iaitu Ketua Setiausaha bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1911. Bangunannya berbentuk English Gothic ini dibina di bawah pengawasan arkitek kerajaan, iaitu Encik Huxley dan Encik Kesteven. SMK CBN hanya menerima pelajar perempuan sahaja. Sejarah juga turut mencacatkan bahawa semasa pendudukan Jepun, SMK Convent Bukit Nanas telah dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara dan berjaya menyelamatkan ratusan nyawa pelarian awam ketika itu.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, sehingga kini, SMK CBN telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka negara antaranya Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, YBhg. Datuk Noor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Rafidah Aziz, Mantan Menteri Perdagangan dan Industri dan ramai lagi.
“Berlandaskan justifikasi sejarah, ciri-ciri seni bina bangunan dan signifikan warisan yang jelas pada SMK CBN, maka JWN pada Mei 2008 telah memulakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan pewartaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Pada Ogos 2008, JWN telah mengangkat permohonan keizinan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) ketika itu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar selaras seksyen 30, Akta 645 untuk mewartakan bangunan sekolah tersebut dan disusuli permohonan kali ketiga pada Februari 2010. Persetujuan PBN telah diperolehi pada September 2010 dan JWN telah meneruskan memulakan proses penetapan sekolah tersebut,” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy.
Namun begitu, semasa tempoh Siaran Notis Niat di Akhbar Tempatan, pihak pemegang amanah ketika itu telah menghantar Notis Bantahan melalui firma guaman kepada Pesuruhjaya Warisan pada 12 Julai 2010. Oleh kerana Notis Bantahan telah diterima di bawah seksyen 28, maka sesi pendengaran selaras seksyen 29 Akta 645 telah diadakan pada 8 April 2011 untuk Pesuruhjaya Warisan mendengar penjelasan bantahan daripada pemegang amanah. Pada 21 Julai 2011, setelah Pesuruhjaya Warisan memperhalusi dan mempertimbangkannya maka Pesuruhjaya Warisan memutuskan untuk tidak meneruskan penetapan sekolah tersebut sebagai tapak warisan di bawah Akta 645.
Walau bagaimanapun, atas justifikasi dan signifikasi warisan SMK CBN, MOTAC mengalu-alukan pemegang amanah untuk mempertimbang dan mencalonkan SMK CBN untuk diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 bagi tujuan memulihara, memelihara dan melindungi warisannya. Untuk makluman, penetapan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak. Pewartaan tidak akan mengambil sebarang pemilikan tanah bahkan ianya kekal di bawah pemilik rasmi sebagaimana yang tercatat di dalam Carian Rasmi.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru agar semua pihak sama ada Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Pemilik, Pemaju, Badan Bukan Kerajaan dan pemain industri warisan berkaitan agar dapat bersama-sama berganding bahu untuk memulihara, memelihara dan melindungi warisan negara baik yang telah diwartakan mahupun belum diwartakan. Kekayaan warisan dan kebudayaan negara ini akan menjadi bukti sejarah ketamadunan negara, daya tarikan para pelancong domestik dan luar negara sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat, negeri dan negara.
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELANCONGAN SENI DAN BUDAYA (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-88917181
Website: www.motac.gov.my Email: info@motac.gov.my
See Original: Ministry of Tourism, Arts And Culture Malaysia. (2021, April 22). Penjelasan Berkaitan Pewartaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur Di Bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] [Press release].