PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pegangan pajakan tanah tapak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas untuk tempoh 60 tahun, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan sumbangan sekolah berkenaan kepada pendidikan negara sejak 1899.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, kebenaran itu diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.
“Ketua Setiausaha Negara bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertemuan dengan Theresa Chua Siu Yan…yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas dan kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan,” menurut kenyataan itu.
“Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi,” tambahnya.
Sekolah itu sebelum ini memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi, mencabar keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tapak sekolah itu yang tamat pada 6 Sept tahun ini.
Sekolah itu mendakwa keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan berkenaan melanggar hak kebebasan asasi dan hak untuk mendapat pendidikan.
See Original: FMT. (2021, April 22). Kerajaan lanjutkan pajakan tanah Convent Bukit Nanas untuk 60 tahun. Free Malaysian Today.