PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbang permohonan Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas untuk menyambung tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu yang tamat pada 6 September ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899, kerajaan bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan bagi SMK Convent Bukit Nanas yang
terletak di Seksyen 49, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.
Bagaimanapun, katanya, kebenaran itu hanya diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.
“Ketua Setiausaha Negara bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, Lady Superior of the Society of Saint Maur yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas dan kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.
“Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi, ” katanya hari ini.
Sebelum ini, ramai meluahkan rasa sedih dan tidak puas hati apabila keputusan kerajaan untuk tidak melanjukan pajakan tanah SMK Bukit Nanas.
Susulan itu permohonan semakan kehakiman sekolah itu dibuat untuk mencabar keputusan kerajaan itu yang didengar oleh Mahkamah Tinggi.
Satu petisyen juga diwujudkan di media sosial bagi menyelamatkan tanah sekolah itu yang pada pandangan beberapa pihak perlu diwartakan sebagai tapak warisan sejak dahulu bersama sekolah Victoria Institute.
Semakan kehakiman terhadap keputusan itu berlangsung pada 19 April lalu dan sekolah diberi cuti sementara dengan perbicaraan berikutnya dijadualkan pada 4 Mei ini.
See Original: Sheikh Rahim, M. (2021, April 22). Pajakan tanah SMK Convent Bukit Nanas dilanjut 60 tahun. Utusan Online.