KUALA LUMPUR – Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) bertitik tolak pada 1899, dengan ketibaan sekumpulan mubaligh wanita, dikenali sebagai The Sisters of The Holy Infant Jesus.
Terdiri daripada Mother St. Andre, Sr. St. Sabine dan Sr. Madeleine dari Singapura, mereka memulakan penubuhan sekolah di sebuah tapak di Jalan Ampang, berhadapan dengan tapak CBN sekarang.
Bermula dengan tujuh pelajar lelaki dan lima perempuan, CBN terus berkembang megah sebagai sebuah sekolah berprestij yang akhirnya hanya membuka kemasukan kepada penuntut perempuan.
Selepas 122 tahun, CBN tiba-tiba mencetuskan kontroversi apabila isu pajakan tanah bangunan sekolah terbabit hangat diperkatakan, sekali gus membawa kepada kemungkinan untuk dirobohkan sebaik tamat tempoh pajakan pada 6 September nanti.
Ia menimbulkan kebimbangan ramai, khususnya pelajar, ibu bapa, barisan guru dan alumni sekolah terbabit, yang mahu nilai sejarah sekolah terus dipelihara sebagai antara warisan negara.
CBN seperti sedia dimaklumi, adalah antara sekolah tertua di ibu negara, dan sekolah pertama yang dinobatkan sebagai Cluster School of Excellence oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Konflik melatari CBN ini mula timbul apabila Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) tidak bersetuju untuk melanjutkan tempoh pajakan, walaupun permohonan untuknya dibuat seawal 2017 oleh Lady Superior of the Society of Saint Maur.
Timbalan Pengerusi Alumni CBN, Junaidah Ishak berkata, mereka dimaklumkan bahawa jabatan terbabit tidak bersetuju untuk melanjutkan tempoh pajakan berkenaan selepas tiga tahun ia diajukan.
“Kami tidak menerima sebarang respon ketika permohonan berkenaan dibuat dan hanya diberitahu tiga tahun kemudian bahawa tempoh pajakan tidak akan dilanjutkan.
“Tiada alasan kukuh diberi dan hanya diberitahu, ia akan menjadi milik kerajaan sepenuhnya selepas tempoh pajakan berakhir,” katanya kepada Getaran.
Junaidah, lebih dikenali sebagai Jay berkata, CBN tampil dengan prestasi, budaya, warisan dan pengajaran tersendiri, justeru nilai sejarah yang ada wajar dipertahankan.
“Sejarah CBN bukan sekadar sebuah sekolah, tetapi perlindungan kepada anak-anak yatim dan anak-anak berkeperluan khas, yang tidak dimiliki semua sekolah.
“CBN juga adalah sekolah bantuan modal dengan sebahagian daripada perbelanjaan sekolah dibiayai kerajaan manakala selebihnya ditampung pengurusan CBN sendiri,” tegasnya.
Realitinya jelas Jay, CBN mampu berdiri sendiri walaupun tidak menerima biaya kerajaan.
“Dari dulu lagi kami hanya menerima 50 peratus peruntukan, bukan sepenuhnya ditaja kerajaan seperti SMK lain.
“Saya tidak melihat ada masalah untuk sekolah ini berdiri secara sendiri,” katanya.
Walaupun pada akhirnya PPTGWP memutuskan untuk tidak merobohkan sekolah terbabit, statusnya yang akan ditukar kepada milik kerajaan sepenuhnya mendatangkan keresahan kepada semua penuntut dan alumni.
Perubahan status sekolah jelas Jay lagi, semestinya akan menjejaskan prestasi dan reputasi CBN sebagai institusi pendidikan disegani.
“Sekolah kami mempunyai reputasi dan ciri -ciri tersendiri yang menjadikan keunikan sekolah kami.
“Situasi pengajaran dan pembelajaran yang berbeza dari sekolah kerajaan serta kepadatan kurikulum dan kokurikulum kami sangat berbeza dari sekolah biasa,” tambahnya.
Berbekal motto ‘Tulus Dengan Fadilah, Azam Dengan Bakti’, CBN banyak menyumbang dalam melahirkan individu berketrampilan dan berwibawa.
“Tidak boleh dinafikan CBN ‘mewah’ dengan barisan pelajar yang tumbuh sebagai individu terhormat, termasuk dalam kepimpinan negara.
“Antara barisan penuntut yang terkenal termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, Gabenor Bank Negara, Datuk Shamsiah Mohd Yunus dan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi,” katanya.
Semalam menerusi satu kenyataan media, Badan Warisan Malaysia menyeru semua pihak berwajib termasuk Jabatan Warisan Negara untuk memastikan CBN dipelihara sebagai tapak warisan, sama seperti status diberikan kepada sebuah sekolah lain, SMK Victoria atau Victoria Institution.
See Original: Nagarajah, R. (2021, April 22). Selamatkan CBN, Jangan Ubah Status Sekolah – Alumni. Getaran.My.